Sunday, September 1, 2019

SISTEM PENGURUSAN PEMBELAJARAN (LMS)


SISTEM PENGURUSAN PEMBELAJARAN
Sistem Pengurusan Pembelajaran atau lebih dikenali sebagai ‘Learning Management System’ (LMS) ialah merupakan sebuah aplikasi perisian untuk pentadbiran, dokumentasi dan laporan program latihan, kelas serta aktiviti dalam talian, program e-pembelajaran dan kadar latihan. Sistem ini sangat diperlukan kerana ia digunakan untuk mengurus pembelajaran pelajar dalam sesuatu universiti, institut, dan kolej melalui internet. Learning Management System adalah istilah yang digunakan dengan meluas untuk lingkungan sistem yang menyediakan capaian kepada perkhidmatan pembelajaran secara atas talian untuk para pelajar, para guru dan pentadbir sistem. Tujuan utama sistem ini ialah untuk membantu memudahkan pengurusan dilakukan ke atas pelajar, subjek-subjek setiap semester, membantu pensyarah mengurus subjek yang ditawarkan dan pentadbiran sepanjang pengajian di universiti, institut dan kolej berkenaan.

Antara ciri-ciri yang penting dalam sistem ini ialah proses meletakkan bahan kursus di atas talian. Melalui sistem ini, kemajuan pelajar melalui ciri-ciri penilaian dapat dikesan dan tenaga pengajar dapat memberi kuiz serta ujian di atas talian. Seterusnya, papan diskusi iaitu ‘Discussion board’ sangat penting kerana ia membolehkan tenaga pengajar dan pelajar berdiskusi mengenai pembacaan dan menyambung diskusi kuliah di antara sesi kuliah yang formal. Selain itu, tenaga pengajar dapat menghantar pengumuman ke kelas dan berhubung dengan pelajar secara individu melalui alat komunikasi lain (Other communication tools) yang ada dalam sistem ini. Sistem ini juga menyediakan kemudahan ‘Lock box for students’ yang dapat membantu pelajar untuk menyimpan bahan kelas di tempat yang selamat sama ada persembahan yang akan diadakan di kelas kemudian atau membuat salinan kedua untuk tugasan kelas di tempat yang selamat. Sistem ini sangat digalakkan kerana ia dapat memasang dan menyampaikan inti pembelajaran dengan cepat dan tepat. Oleh yang demikian, tenaga pengajar dan pelajar perlu sebaiknya menggunakan sistem ini dalam pembelajaran agar dapat memusatkan strategi pengajaran dan pembelajaran. Gambar di bawah ialah contoh Sistem Maklumat Pelajar dari Institut Pendidikan Guru. Pautan ini diperoleh daripada http://43.252.232.194/smp/.
      i.  

Gambar 1: Contoh Sistem Pengurusan Maklumat (LMS) dari Institut Pendidikan Guru.

Di samping itu, Sistem Pengurusan Pembelajaran atau LMS juga mampu memberi impak kepada asas aktiviti institusi pendidikan. Hal ini kerana LMS memainkan peranan di dalam latihan dan pengukur kemahiran perniagaan. Ia perlu diselarikan dengan prosedur standard untuk semua aktiviti pembelajaran dan pengajaran termasuk menangani isu-isu dasar yang berkaitan dengan aktiviti-aktiviti ini. LMS dibahagikan kepada dua kategori iaitu “proprietary” dan “open source”. Contoh LMS proprietary ialah blackboard manakalah contoh bagi LMS open source ialah Moodle. Moodle memberikan banyak kebaikan kerana ia merupakan salah satu perisian yang dilihat mempunyai nilai yang tinggi dan paling tinggi penggunaannya di dalam komuniti pendidikan, khususnya pendidikan tinggi dan universiti. Kegunaan LMS ini dapat membolehkan pelajar dan pensyarah berbincang dengan mudah untuk mengakses bahan pembelajaran. Tambahan pula, sistem ini amat digalakkan kerana ia menyediakan satu portal yang berjenama untuk penghantaran e-pembelajaran. Kesannya, ia dapat memudahkan e-pembelajaran dengan platform pembelajaran secara online. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan sistem ini sangat penting lagi-lagi apabila sistem ini dapat meningkatkan pematuhan dengan keperluan kawal selia. Oleh itu, kita dapat lihat bahawa kebanyakan universiti menggunakan sistem ini dalam pembelajaran mereka. Gambar di bawah menunjukkan contoh Moodle yang digunakan oleh UNITEN. Gambar di bawah diperoleh daripada pautan http://lms.uniten.edu.my/moodle/.
 

Gambar 2: Contoh Moodle yang digunakan oleh UNITEN.


         Bukan itu sahaja, sistem ini juga dapat mewujudkan pembelajaran berpusat. Sistem ini berupaya membantu dan memudahkan proses pembelajaran kerana pembelajaran boleh dilakukan dimana sahaja serta pada bila-bila masa. Hal ini dapat membantu pelajar mencari apa-apa maklumat pembelajaran yang diperlukan oleh mereka. Jika pelajar mahu berbincang dengan pakar daripada universiti, mereka boleh melakukan sedemikian melalui emel atau blackboard yang disediakan dalam sistem ini. Seterusnya, kecekapan organisasi juga dapat dinaikkan melalui sistem yang sedia ada ini. Hal ini membuatkan maklumat dapat disunting dan dikeluarkan dengan cara yang mudah. Kesannya, semangat untuk bekerja dan belajar dapat ditingkatkan serta tidak lagi diganggu oleh masalah pengurusan. Oleh itu, mereka dapat menjalankan tugas dengan cekap dan efisien. 


Gambar 3: Senarai Open Source Software yang digunakan LMS.


Pada pandangan saya, semua universiti atau kolej mahupun insititut yang ada perlulah mengaplikasikan sistem pengurusan pembelajaran ini kerana sudah terang lagi bersuluh banyak kemudahan yang dapat diperoleh daripada sistem ini. Hal ini kerana sistem ini diperlukan oleh semua tenaga pengajar dan pelajar dalam pembelajaran mereka untuk memudahkan pembelajaran berjalan dengan lancar. Tambahan pula, apabila mereka dapat menyambung diskusi secara atas talian jika tidak sempat di dalam kuliah. Selain itu, sistem ini juga membenarkan pelajar untuk berkongsi maklumat dengan pihak luar. Ini dapat menjimatkan masa kerana maklumat yang dikongsi boleh diperolehi dengan cepat dan boleh digunakan berkali-kali sepanjang masa. Kesimpulannya, pelajar perlu memberi kerjasama supaya bersikap lebih terbuka dan dapat menerima LMS sebagai sebahagian daripada alat yang akan diaplikasikan dalam pembelajaran pada masa akan datang.


22 comments:

  1. Bagaimanakah cara menghalang penggunaan telefon di kalangan pelajar PP sewatu PDPC.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cara untuk menghalang penggunaan telefon di kalangan pelajar PP sewaktu PDPC ialah dengan mengehadkan penggunaan telefon semasa PDPD. Contohnya, kumpulkan semua telefon pelajar pada suatu tempat semasa PDPC berlangsung dan mengambil semula telefon tersebut setelah selesai PDPC. Kesannya, penggunaan telefon dapat dikurangkan sewaktu PDPC.

      Delete
  2. Bagaimanakah sistem pengurusan pembelajaran ini boleh diaplikasikan kepada sekolah di kawasan pedalaman ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sistem Pengurusan Pembelajaran ini boleh diaplikasikan kepada sekolah di kawasan pedalaman dengan penguatkuasaan oleh kerajaan supaya semua sekolah menggunakan sistem ini. Dengan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh kerajaan, sistem ini akan dapat diaplikasikan di seluruh pelosok dunia memandangkan sudah banyak universiti/insititut/kolej terkenal yang menggunakan sistem ini dalam waktu Pengajaran dan Pembelajaran mereka.

      Delete
  3. Apakah kesan negatif LMS kepada pelajar?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Antara kesan negatif LMS yang akan dihidapi pelajar ialah lahirnya sekumpulan pelajar yang tidak mempunyai perasaan hormat kepada guru-guru kerana mereka tidak berinteraksi secara berhadapan dengan guru mereka. Contohnya, apabila LMS diaplikasikan di sekolah, guru-guru tidak perlu lagi mengajar pelajar-pelajar secara berhadapan dan ini menyebabkan hilangnya rasa hormat dan sayang kepada guru. Hal ini menyebabkan kehilangan nila-nilai murnin dalam diri pelajar yang mendorong kepada keruntuhan hubungan antara seorang pelajar dan guru.

      Delete
    2. Selain itu, keburukan yang tidak boleh dibiarkan juga apabila sistem ini diaplikasikan ialah proses pembelajaran akan menjadi lebih longgar dan kurang pengawasan hingga boleh menjejaskan kualiti pendidikan yang disampaikan. Contohnya, risiko berlakunya unsur plagiat adalah tinggi apabila sistem ini digunakan. Kesannya, pembelajaran yang diidamkan tidak dapat dicapai.

      Delete
  4. Bagaimana sistem LMS dapat menjimatkan kewangan ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sistem LMS dapat menjimatkan kewangan dengan mengurangkan kos bagi penggunaan kertas. Contohnya, pensyarah mahupun pelajar tidak perlu 'print out' nota-nota mereka dan hanya memuat naik nota-nota, latihan dan urusan berkaitan kuliah di atas talian. Secara tidak langsung, penggunaan kertas akan dapat dikurangkan dan dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi.

      Delete
  5. adakah sistem ini sangat sesuai digunakan pada masa kini? jika ya, mengapa?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, sistem LMS ini sesuai digunakan pada masa kini. Hal ini kerana ia bersesuaian dengan persekitaran kini yang sentiasa mengutamakan penggunaan masa dan perancangan kewangan yang bijak. Jadi, semua pihak perlu berganding bahu untuk mengambil peluang mengaplikasikan Sistem Pengurusan Pembelajaran iaitu LMS dalam organisasi masing-masing lantaran keistimewaab dan kelebihan yang ditawarkan.

      Delete
  6. Saya dapati sistem LMS ini sangat bagus untuk diaplikasikan ke dalam pembelajaran pada abad ini. Tetapi, bolehkah anda membuat perbandingan di antara kaedah pembelajaran tradisional dengan kaedah pembelajaran menggunakan sistem LMS?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kaedah pembelajaran tradisional dikatakan tidak menjadikan suasana pembelajaran aktif berbanding dengan kaedah pembelajaran menggunakan sistem LMS. Pelajar pada masa kini adalah bijak teapi kurang sabar. Contohnya, meraka mengharapkan keputusan dengan segera dan selalu tertarik dengan alatan elektronik yang canggih. Oleh itu, berdasarkan sikap mereka, kaedah LMS adalah lebih sesuai untuk generasi baru ini.

      Delete
    2. Oh, begitu. Saya sudah semakin faham dengan sistem ini. Untuk meningkatkan lagi kefahaman saya, izinkan saya bertanya satu lagi soalan. Bagaimanakah pelajar dapat mencari ilmu yang mungkin tidak disediakan di sekolah harian biasa melalui sistem LMS ini?

      Delete
    3. Pelajar dapat meneroka ilmu yang mungkin tidak disediakan di sekolah harian biasa melalui sistem LMS ini kerana sistem ini adalah merentasi sempadan dan menjangkau sumber dari pihak luar negara. Oleh itu, pemikiran pelajar tidak konvensional malahan persepsi mereka menjadi lebih terbuka, positif dan maju ke hadapan.

      Delete
    4. Maafkan saya, saya lupa untuk memperkenalkan diri saya. Nama saya ialah Aina. Terima kasih kerana menjawab soalan-soalan yang ditujukan oleh saya.

      Delete
  7. Saya ingin bertanya, Apakah kepentingan sikap terhadap pentaksiran ini ? seterusnya, adakah perkara ini amat berguna terhadap semua individu atau sesetengan pihak sahaja seperti pelajar institusi tinggi. bolehkah saudari berikan pendangan saudari ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas soalan saudari. Walaupun saya bukan membincangkan tentang sikap terhadap pentaksiran, saya akan cuba menjawab soalan saudari. Kepentingan sikap terhadap pentaksiran ialah mendapat gambaran tentang prestasi seseorang pelajar dalam pembelajaran. Perkara ini amat berguna terhadap semua individu kerana melalui pentaksiran ini, jenis-jenis masalah yang dihadapi oleh pelajar dapat dikesan. Kesannya, pengajaran dan pembelajaran seseorang pelajar dapat diperbaiki ke arah yang lebih baik.

      Delete
  8. Saya ingin bertanya, bagaimana memupuk atau menarik minat pelajar yang introvert atau lebih gemar berdiam diri untuk menguasai kemahiran interpersonal?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas soalan saudari. Disini, saya bukan membincangkan tentang penyesuaian sosial, tetapi saya akan cuba untuk menjawab soalan saudari. Kita boleh memupuk atau menarik minat pelajar yang introvert atau lebih gemar berdiam diri untuk menguasai kemahiran interpersonal dengan komunikasi. Melalui komunikasi yang berkesan, seseorang individu akan dapat menjalin dan memperbaiki hubungan, bersifat responsif, meningkatkan harga diri melalui penghargaan dan penghormatan, mendapatkan maklumat, meraih kepercayaan, berkongsi pengalaman serta mewujudkan keseronokan.

      Delete
  9. apakah yang dimaksudkan dengan "proprietary?". Saya tidak pernah mendengar perkataan tersebut seumur hidup saya. Bolehkah anda bagi satu lagi contoh proprietary supaya saya lebih faham?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas soalan saudari. "Proprietary" ialah bertentangan dengan "open source" iaitu yang membawa makna tertutup. Hanya pereka dan pemaju yang mengetahui kod sumber. Oleh itu, penggunaan dan penyebarannya memerlukan lesen dari pemaju. Secara umum, contoh dari produk proprietary ialah Windows, iOS dan Microsoft Office. Saya memberi contoh ini supaya anda lebih faham. Tetapi, secara terperinci, contoh lain bagi LMS proprietary ialah Apex Learning, IntraLearn, SAP Enterprise Learning dan Saba Software.

      Delete

 

Kemahiran Belajar Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template